MAHKAMAH TINGGI (TEMERLOH)
ROSLAN MAT NOR PK
GUAMAN SIVIL NO CB-22NCVC-21-12 TAHUN 2021
20 June 2022
ALASAN PENGHAKIMAN
[1] Ini adalah permohonan Defendan Kedua supaya tindakan terhadap beliau dibatalkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah- kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012). Alasan permohonan ini ialah tiada kausa tindakan Plaintif terhadap Defendan Kedua. Ini adalah disebabkan Defendan Kedua tiada hubung kait dengan perjanjian yang melibatkan Plaintif dan Defendan Pertama.
[2] Plaintif di dalam Affidavit Jawapannya menyatakan bahawa pada klausa 12 Perjanjian bertarikh 21.01.2008 Defendan Kedua telah menandatangani Surat Ikatan Waad (Deed of Covenant [DOC]).
[3] Di dalam Affidavit Jawapan Defendan Kedua telah dinyatakan bahawa tiada hubung kait di antara beliau dengan Plaintif sebagai pemilik berdaftar untuk menandatangani perjanjian Surat Ikatan Waad (DOC) melalui surat bertarikh 14.12.2021. Hasrat itu dinyatakan melalui surat bertarikh 06.02.2021.
[4] Apa yang dapat difahami setelah Mahkamah meneliti eksibit- eksibit yang dikemukakan bahawa Defendan Kedua enggan untuk menandatangani perjanjian Surat Ikatan Waad (DOC) dengan Plaintif seperti yang telah dilakukan oleh Defendan Pertama. Ini akan menyebabkan sebarang pembangunan di atas tanah tersebut tidak lancar dan akan menjejaskan pihak-pihak.
[5] Persoalannya adakah terdapat kausa tindakan di antara Plaintif dan Defendan Kedua? Secara umumnya undang-undang yang termaklum bahawa pendekatan yang perlu digunakan dalam menentukan terdapat kausa tindakan atau tidak boleh dirumuskan seperti berikut:
- (a)Mahkamah akan meneliti pliding dan fakta-fakta asas di dalam pliding.
- (b)Mahkamah meneliti fakta-fakta asal yang dinyatakan oleh Plaintif berkenaan tindakannya terhadap Defendan Kedua.
- (c)Mahkamah tidak akan mengandaikan bahawa jika terdapat fakta-fakta yang tidak jelas maka ia perlu dibuktikan di dalam perbicaraan penuh.
[6] Mahkamah perlu meneliti apakah yang dimaksudkan dengan kausa tindakan seperti yang dinyatakan di dalam kes Government of Malaysia v Lim Kit Siang [1988] 2 MLJ 12 ; [1988] 1 CLJ Rep 63. Secara ringkasnya kausa tindakan yang munasabah membawa maksud fakta-fakta yang ada membolehkan seseorang itu berhak untuk mendapatkan daripada Mahkamah remedi terhadap seseorang.
[7] Di dalam kes ini, fakta-fakta yang diperolehi daripada Plaintif menunjukkan hubungan Plaintif dan Defendan Pertama seperti di perenggan di 17 hingga 23 Penyata Tuntutan.
[8] Plaintif menyatakan bahawa Defendan-Defendan secara sebenar atau konstruktif mempunyai notis berkenaan skim pembangunan dan terikat kepada Waad-waad tersebut. Ini dinyatakan di perenggan 24 sehingga 40 penyata tuntutan. Apa yang jelas diperhatikan semasa penelitian kepada Affidavit Sokongan dan Affidavit Jawapan pihak- pihak ialah terdapat perhubungan bertulis di antara Defendan Pertama dan Plaintif. Apakah itu sudah mewujudkan satu kausa tindakan? Ini perlu dilihat kepada remedi terhadap Defendan Kedua iaitu untuk deklarasi bahawa Defendan Kedua adalah tertakluk kepada Waad-waad tersebut sedangkan beliau tidak menandatangani apa-apa surat Ikatan Waad (DOC) dengan Plaintif.