Dalam perkara Pink Zone Sdn Bhd [No Syarikat (822951-W)]; Dan 200801021633 Dalam perkara mengenai kegagalan membayar hasil-hasil jualan kayukayu balak kepunyaan Pink Zone Sdn Bhd di Kompartmen 19 dan 20, Hutan Simpan Balok, Mukim Sungai Karang, Daerah Kuantan, Pahang seluas 224.61 ekar; Dan Dalam perkara mengenai Aturan 5 Kaedah 3, dan/atau Aturan 7 Kaedah 2 dan/atau Aturan 28 dan/atau Aturan 88 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah 2012 dan bidangkuasa sedia ada Mahkamah serta peruntukanperuntukan lain yang berkaitan; Dan Dalam perkara mengenai Seksyen 345, Seksyen 347, Seksyen 348 dan Seksyen 350 Akta Syarikat 2016. ANTARA YAP CHUNG KWAN (NO. K/P. 890105-06-5773) 1. 2. KHO KOK LIM (NO. K/P: 850227-06-5505) KHO CHEE KIAT (NO. K/P: 580702-06-5225) [kedua-dua dituntut sebagai rakan kongsi Swan Yik Enterprise (No. Pendaftaran: 201403319999] DEFENDAN-DEFENDAN
ALASAN PENGHAKIMAN
Pendahuluan
1. PLAINTIF DAN … DEFENDAN-DEFENDAN Ini adalah permohonan Plaintif untuk satu tindakan terbitan (derivative action) di bawah Akta Syarikat 2016. Plaintif memohon perintah-perintah seperti yang berikut:
(i) Plaintif diberi keizinan oleh Mahkamah yang mulia ini di bawah Seksyen 347 Akta Syarikat 2016 untuk memulakan prosiding terbitan (“Derivative Proceedings”) bagi pihak Pink Zone Sdn Bhd [No. Syarikat 200801021633 (822951-W)] ke atas Defendan Pertama, Kho Kok Lim (No. K/P: 850227065505) dan Defendan Ke-2, Kho Chee Kiat (No. K/P: 58070206-5225);
(ii) Sekiranya keizinan diberikan, satu perintah diberikan kepada Plaintif untuk mengawal perjalanan prosiding sehingga selesai;
(iii) Satu perintah bahawa setiausaha syarikat Pink Zone Sdn Bhd untuk memberikan bantuan dan maklumat kepada Plaintif,termasuklah untuk membenarkan pemeriksaan buku syarikat Pink Zone Sdn Bhd
(iv) Bahawa syarikat Pink Zone Sdn Bhd hendaklah membayar fi guaman yang munasabah dan perbelanjaan yang dilakukan oleh Plaintif berkaitan dengan permohonan atau tindakan, atau sementara menunggu kelulusan ini diberikan; atau
(v) Bahawa Defendan-Defendan hendaklah membayar dengan serta-merta kos kepada Plaintif bagi prosiding terbitan ini, dan kos adalah atas dasar indemniti penuh.
2. Plaintif adalah merupakan seorang Pengarah kepada Pink Zone Sdn Bhd. Defendan Pertama adalah Pengarah Bersama dan pemegang saham masing-masing 50 % dalam Pink Zone Sdn Bhd. Defendan Kedua adalah bapa kepada Defendan Pertama. Defendan Pertama dan Defendan Kedua merupakan rakan kongsi kepada firma Swan Yik Enterprise.
3. Defendan Pertama mendakwa bahawa sebagai Pengarah dan pemegang saham di dalam Pink Zone dia mempunyai kewajipan fidusiari untuk bertindak demikian kepentingan terbaik Pink Zone Sdn Bhd.
4. Pink Zone Sdn Bhd telah memohon satu konsensi pembalakan di Hutan Simpan Balok, Mukim Sungai Karang, Daerah Kuantan, Pahang pada 18.10.2019 dan 29.01.2020.
5. Pink Zone Sdn Bhd telah berjaya memperolehi konsensi pembalakan seluas 224.61 ekar di Kompartmen 19 dan 20, Hutan Simpan Balok, Mukim Sungai Karang, Daerah Kuantan, Pahang
6. Lesen pembalakan bertarikh 06.04.2022 telah dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk tempoh 01.04.2022 hingga 31.03.2023 dan Swan Yik Enterprise telah dinamakan sebagai kontraktor pembalakan dalam lesen pembalakan tersebut.
7. Pelantikan Swan Yik Enterprise sebagai kontraktor pembalakan adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa Swan Yik Enterprise akan dibayar RM 50 setiap tan sebagai upah pengendalian kerja berdasarkan kepada jumlah kayu-kayu yang dikeluarkan dari konsensi pembalasan tersebut.
8. Swan Yik Enterprise juga bertanggungjawab untuk melantik dan membayar sub kontraktor dan menguruskan semua perbelanjaan berkaitan. Swan Yik Enterprise juga dikehendaki membayar kepada Pink Zone Sdn Bhd selepas ditolak dengan perbelanjaanperbelanjaan pembalakan yang berkaitan.
9. Plaintif di dalam affidavit sokongan permohonan ini telah mendakwa bahawa kayu-kayu yang dikeluarkan dari konsensi pembalakan tersebut telah dijual oleh Swan Yik Enterprise dan keseluruhan jualannya adalah RM 8,455,172.65. Ia telah disokong oleh penyata penjualan kayu-kayu yang ditandakan sebagai eksibit “YCK-5”.
10. Plaintif mendakwa setakat 30.09.2022 tiada sebarang bayaran dibuat oleh Swan Yik Enterprise kepada Pink Zone Sdn Bhd walaupun terdapat banyak surat tuntutan dikemukakan termasuklah surat bertarikh 21.05.2024.
11. Plaintif mendakwa ekoran daripada tindakan Swan Yik Enterprise yang gagal membuat pembayaran kepada Pink Zone Enterprise ia merupakan satu perlanggan tanggungjawab fidusiari Defendan Pertama kepada Pink Zone Sdn Bhd. Pink Zone Sdn Bhd telah mengalami kerugian ekoran daripada Swan Yik Enterprise tidak membuat pembayaran seperti yang dituntut oleh Pink Zone Sdn Bhd.
12. Plaintif menyatakan bahawa kebenaran wajar diberikan oleh Mahkamah ini bagi membolehkan kepentingan syarikat dilindungi disebabkan Defendan Pertama telah melanggar tugas-tugas fidusiari dan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016. Pada masa yang sama Defendan Pertama mempunyai kepentingan yang bertentangan akibat kedudukannya dalam syarikat Swan Yik Enterprise dan Pink Zone Sdn Bhd tersebut.
13. Sebaliknya Defendan-Defendan dalam affidavit jawapan menafikan bahawa Swan Yik Enterprise ada berhutang dengan Pink Zone Sdn Bhd ekoran daripada perjanjian konsensi pembalakan tersebut. Ini adalah disebabkan penyata akaun yang dikemukakan oleh Plaintif di dalam eksibit “YCK -6” tidak diaudit dan tidak ditandatangani yang menyebabkan penyata akaun tersebut tidak boleh menjadi asas kepada dakwaan Plaintif.
14. Defendan-Defendan juga menyatakan bahawa penyata akaun itu tidak diautdit dan kesemua cukai yang timbul daripadanya tidak dijelaskan oleh Pink Zone Sdn Bhd kepada pihak berkuasa yang mempunyai urusan berkaitan percukaian. Dalam erti kata lain tiada sebarang cukai dibayar di atas keuntungan yang dikatakan telah diperolehi daripada Swan Yik Enterprise oleh Pink Zone Sdn Bhd.
15. Defendan-Defendan juga dalam affidavit jawapannya menyatakan bahawa kedudukan Plaintif dan Defendan Pertama yang memegang 50 % daripada modal berbayar dalam Pink Zone Sdn Bhd adalah diperolehi daripada pemegang saham terdahulu, Sin See Hwa dan Ng Ooi Wah dan telah dibayar sepenuhnya oleh Swan Yik Enterprise yang Defendan Pertama dan Plaintif dahulunya adalah rakan kongsi.
16. Oleh itu Defendan Pertama mendakwa Plaintif hanyalah pemegang amanah dan saham yang dipegang dalam Pink Zone Sdn Bhd bagi pihak Swan Yik Enterprise. Malahan Defendan Pertama menyatakan bahawa perjanjian penjualan saham di antara Plaintif dan Defendan Pertama dengan Sin See Hwa dan Ng Ooi Wah untuk saham Pink Zone Sdn Bhd untuk pembelian RM 3 juta menyatakan bahawa Defendan Pertama dan Plaintif tidak membuat sebarang pembayaran untuk pembelian saham tersebut. Ini dapat dilihat di dalam eksibit affidavit jawapan Defendan di “KKL-2”. Oleh yang demikian pihak Defendan menyatakan bahawa permohonan ini adalah dibuat dengan niat jahat oleh Plaintif
Analisa
17. Secara ringkasnya tindakan terbitan di bawah undang-undang syarikat ialah membawa maksud apabila seseorang memulakan tindakan bagi pihak syarikat. Pada amalannya pihak yang memulakan tindakan tersebut adalah seseorang yang tidak mempunyai kawalan di dalam syarikat tersebut. Rasional kepada prosiding ini ialah untuk memastikan pihak yang berkepentingan dalam syarikat tersebut dapat mengambil tindakan untuk mempertahankan kepentingan syarikat.
18. Penelitian kepada kes ini menunjukkan bahawa Plaintif mendakwa bahawa hutang-hutang yang sepatutnya dibayar oleh Swan Yik Enterprise yang tidak dibuat kepada Pink Zone Sdn Bhd akan menjejaskan kepentingan syarikat. Oleh itu Plaintif memfailkan tindakan ini untuk mendapatkan kebenaran bagi mengemukakan tindakan terbitan tersebut.
19. Seksyen 347 Akta Syarikat 2016 memperuntukkan seperti yang berikut:
“347 Derivative proceedings
i) A complainant may, with the leave of the Court initiate, intervene in or defend a proceeding on behalf of the company.
ii) Proceedings brought under this section shall be brought in the company’s name.
iii) The right of any person to bring, intervene in, defend or discontinue any proceedings on behalf of a company at common law is abrogated.”
20. Seksyen 348 Akta Syarikat 2016 pula menyatakan seperti yang berikut berkaitan dengan kebenaran daripada Mahkamah:
“348 Leave of Court
1) An application for leave of the Court under section 347 shall be made to the Court without the need for an appearance to be entered.
2) The complainant shall give thirty days’ notice in writing to the directors of his intention to apply for the leave of Court under section 347.
3) Where leave has been granted for an application under section 347, the complainant shall initiate proceedings in Court within thirty days from the grant of leave.
4) In deciding whether or not the leave shall be granted, the Court shall take into account whether-
a) the complainant is acting in good faith; and
b) it appears prima facie to be in the best interest of the company that the application for leave be granted.
5) Any proceedings brought, intervened in or defended under this section shall not be discontinued, compromised or settled except with the leave of the Court.”
21. Mahkamah Persekutuan telah memberikan penjelasan yang kompresensif berkenaan dengan ujian untuk pemberian kebenaran di bawah seksyen 348 Akta Syarikat 2016 dalam kes Dato’ Seri Timor Shah Rafiq v. Nautilus Tug & Towage Sdn Bhd & Another Appeal [2024] 4 CLJ 499.
22. Mahkamah Persekutuan menyatakan berkenaan dengan dua elemen yang perlu ada dalam seksyen 348 Akta Syarikat 2016 tersebut dengan menyatakan seperti yang berikut:
The second issue which merits consideration relates to the standard of review for assessing leave applications to initiate the statutory derivative action under s. 348 of the CA 2016. The dual elements of “good faith” and especially “it appears prima facie to be in the best interest of the company” in the application for leave under s. 348(4)(b) has generated some discussion as to the nature of the threshold required for leave to be granted.
23. Setelah merujuk kepada beberapa kes yang diputuskan oleh Mahkamah berkenaan dengan secara ikhlas atau jujur (good faith) Mahkamah Persekutuan telah merumuskan ujian seperti yang berikut:
It may therefore be surmised that the test for assessing honest belief comprises of both subjective and objective components, namely whether the applicant honestly believes that a good cause of action exists and has a reasonable prospect of success (subjective component), and the applicant may be disbelieved if no reasonable person in the circumstances could hold that belief (objective component).
24. Begitu juga berkenaan dengan kepentingan syarikat dalam menimbangkan kebenaran untuk tindakan terbitan, Mahkamah Persekutuan juga setelah meneliti kes-kes yang berkaitan merumuskan seperti yang berikut:
In the end the question of whether it is prima facie in the best interest of the company to bring an action is a wide one involving consideration of factors beyond the merits of the proceedings. So, broadly speaking, apart from the prospects of success of the action, other factors are the likely costs of the action including legal fees, likely recovery if the action is successful and likely consequences to the company if the action is unsuccessful.
25. Berdasarkan kepada garis panduan yang dinyatakan dalam kes Dato’ Seri Timor Shah Rafiq v. Nautilus Tug & Towage Sdn Bhd & Another Appeal (supra) di atas, kini Mahkamah perlu meneliti adakah tindakan Plaintif adalah sesuatu yang jujur dan ikhlas. Mahkamah ini mendapati bahawa tindakan pihak Plaintif adalah disebabkan kebimbangan Defendan Pertama sebagai pemilik saham Pink Zone Sdn Bhd dan Swan Yik Enterprise telah membenarkan Swan Yik Enterprise tidak membuat pembayaran kepada Pink Zone Sdn Bhd yang sepatutnya dibayar oleh Swan Yik Enterprise.
26. Mahkamah ini mendapati asas kepada dakwaan Plaintif adalah terdapatnya dokumen-dokumen yang menunjukkan penjualan kayukayu yang diperolehi daripada kawasan konsensi pembalakan di Hutan Simpan Balok, Mukim Sungai Karang. Selain daripada dokumen-dokumen tersebut, Mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan lain yang menyokong dakwaan Plaintif dalam kes ini.
27. Ini ditambah pula dengan penyata-penyata akaun yang melibatkan Pink Zone Sdn Bhd yang telah juga ditandatangani oleh Plaintif. Namun Plaintif dalam affidavit balasannya telah menyanggah fakta tersebut. Ini adalah disebabkan penyata akaun tersebut adalah merupakan draf sahaja berdasarkan kepada pernyataan yang diperolehi pada masa itu. Draf penyata akaun itu tidak ditandatangani dan tidak diaudit menunjukkan bahawa ia adalah draf sahaja. Oleh itu tidak timbul isu berkenaan dengan pembayaran cukai kepada keuntungan tersebut kerana ianya masih tertakluk kepada ianya dimuktamadkan.
28. Penelitian Mahkamah kepada affidavit sokongan, affidavit jawapan dan affidavit balasan pihak-pihak dalam kes ini telah menyebabkan Mahkamah mendapati bahawa Plaintif semasa membuat permohonan kebenaran ini tidak menunjukkan bahawa terdapatnya asas kepada bayaran yang perlu dibayar oleh Swan Yik Enterprise kepada Pink Zone Sdn Bhd dan mempunyai maklumat bahawa terdapat akaunakaun syarikat Pink Zone Sdn Bhd yang masih tidak dimuktamadkan. Persoalannya bagaimana dengan ketiadaan akaun yang telah dimuktamadkan itu Plaintif boleh dikatakan mempunyai keikhlasan untuk membuat permohonan tindakan terbitan ini bagi menjaga kepentingan syarikat.
29. Pada masa yang sama semasa mengemukakan affidavit sokongan permohonan ini tidak diperjelaskan berkenaan dengan kedudukan sebenar pembelian saham Pink Zone Sdn Bhd dan pembayaran saham-saham tersebut. la hanya timbul setelah dibangkitkan oleh Defendan semasa affidavit jawapan. Mahkamah juga mendapati penjelasan yang diberikan oleh Plaintif dalam affidavit balasan tidak dapat merungkaikan keterangan berkenaan dengan kedudukan syarikat Swan Yik Enterprise dan kepentingan Defendan Pertama dan Plaintif di dalam syarikat Pink Zone Sdn Bhd. Ini pada hemat Mahkamah tidak konsisten dengan keikhlasan Plaintif membuat permohonan kebenaran untuk prosiding tindakan terbitan.
30. Seterusnya Mahkamah ini juga perlu menimbangkan permohonan ini adalah untuk kepentingan syarikat. Adalah jelas dan nyata bahawa permohonan ini dibuat ialah untuk memastikan Swan Yik Enterprise membuat pembayaran kepada syarikat Pink Zone Sdn Bhd. Namun begitu disebabkan tiada sebarang pengesahan berkenaan dengan berapakah jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh Swan Yik Enterprise kepada Pink Zone Sdn Bhd seperti yang didakwa oleh Plaintif berdasarkan kepada hanya penyata-penyata penjualan yang tidak dapat disahkan, Mahkamah ini berpendapat tidak dapat ditunjukkan bahawa Plaintif membuat permohonan ini untuk menjaga kepentingan syarikat. Ini adalah disebabkan tiada sebarang keterangan yang dapat menunjukkan kepada Mahkamah bahawa amaun tersebut adalah amaun yang perlu dibayar oleh Swan Yik Enterprise kepada Pink Zone Sdn Bhd. Pada hemat Mahkamah ia hanya merupakah satu jumlah yang masih belum disahkan. Apa yang jelas tindakan Plaintif hanyalah berdasarkan kepada jumlah yang pada pandangan Plaintif perlu dijelaskan oleh Swan Yik Enterprise kepada Pink Zone Sdn Bhd.
31. Persoalannya ialah adakah ia memadai untuk menunjukkan bahawa tindakan Plaintif ini adalah demikian kepentingan syarikat. Mahkamah mendapati ia tidak dapat ditunjukkan sebagai untuk kepentingan syarikat. Ini adalah disebabkan sekiranya Swan Yik Enterprise tidak membayar amaun yang dikatakan perlu dibayar kepada Pink Zone Sdn Bhd ia juga akan menjejaskan Defendan Pertama yang merupakan salah seorang pemegang saham kepada Pink Zone Sdn Bhd.
32. Mahkamah ini tidak juga melupakan bahawa Defendan Pertama juga adalah berkepentingan di dalam Swan Yik Enterprise. Ini bermakna bahawa sebarang tindakan Swan Yik Enterprise yang tidak membayar kepada Pink Zone Sdn Bhd akan menjejaskan Defendan Pertama juga. Malahan ia akan menjejaskan Pink Zone Sdn Bhd itu sendiri.
33. Namun disebabkan tiada pengesahan jumlah hutang yang sepatutnya dibayar oleh Swan Yik Enterprise kepada Pink Zone Sdn Bhd maka sukar untuk Mahkamah ini menerima hujahan bahawa permohonan ini dibuat untuk kepentingan syarikat. Ia disebabkan kepentingan itu masih belum dapat ditunjukkan oleh Plaintif dalam permohonan melainkan bersandarkan kepada dokumen-dokumen penjualan kayukayu yang masih belum dapat disahkan oleh Swan Yik Enterprise dan Pink Zone Sdn Bhd.
34. Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas Mahkamah berpendapat permohonan Plaintif ditolak dengan kos.
Bertarikh : 11 OGOS 2025
(ROSLAN MAT NOR) HAKIM
Kaunsel:
Bagi pihak plaintif – C M Lai & Mou Kar Wye; T/n CM Lai & Partners Kuala Lumpur
Bagi pihak defendan-defendan – Jeane Lee Yi Jin & Yeap Xi Jin; T/n Lim Kian Leong & Co