MAHKAMAH TINGGI (KUALA LUMPUR)
LATIFAH MOHD TAHAR H
GUAMAN SIVIL NO WA-22NCVC-69-02 TAHUN 2017
1 March 2023
ALASAN PENGHAKIMAN
(LAMPIRAN 237)RAYUAN
[1] Perayu / Defendan Kedua (dalam Tuntutan Asal) tidak berpuashati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 Disember 2022 dan kini merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan tersebut yang memutuskan bahawa permohonan Responden-Responden / Plaintif-Plaintif (dalam Tuntutan Asal) untuk memberhentikan tindakan terhadap Perayu / Defendan Kedua dan Defendan Pertama (dalam Tuntutan Asal).
[2] Pihak-pihak akan disebut sebagai Plaintif-Plaintif, Defendan Pertama, Defendan Kedua, Defendan Ketiga dan juga Defendan-Defendan dalam alasan penghakiman ini.
[3] Dalam kes ini terdapatnya permohonan oleh Plaintif-Plaintif dibawah Aturan 21 Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dimana Plaintif- Plaintif di dalam Tuntutan Asal membuat permohonan di bawah peruntukan Aturan 21 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk perintah- perintah bahawa:-
- a)Plaintif-Plaintif di dalam Tuntutan Asal diberi kebenaran untuk memberhentikan tindakan yang telah difailkan ke atas Defendan-Defendan di dalam Tuntutan Asal;
- b)Tiada perintah terhadap kos; dan
- c)Lain-lain relif yang difikirkan suai-manfaat oleh Mahkamah yang Mulia ini.
[4] Alasan-alasan permohonan adalah seperti berikut:-
- 1.Plaintif-Plaintif dalam tuntutan asal telah memfailkan tindakan sekarang ini terhadap Defendan Pertama dan Defendan Kedua dalam Tuntutan asal pada10.02.2017.
- 2.Pada setiap masa yang material Defendan-Defendan dalam Tuntutan Asal telah memfailkan Tuntutan Balas pada 20.03.2017.
- 3.Plaintif-Plaintif dalam Tuntutan Asal telah menuntut terhadap Defendan Pertama dan Defendan Kedua antara lain pembayaran balik Pinjaman Persahabatan berjumlah RM150,000.00 yang diberikan pada Mac 2010.
- 4.Pada setiap masa yang material pihak-pihak telah memfailkan semua dokumen pra-perbicaraan seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Yang Mulia in.
- 5.Akhirnya tindakan sekarang ini telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 28.7.2021, 29.7.2021, 30.7.2021, 21.6.2022, 10.8.2022 dan 15.8.2022.
- 6.Permohonan Pemberhentian tindakan Plaintif-Plaintif ke atas Defendan-Defendan adalah kerana Defendan Pertama telah membuat bayaran sebanyak RM170,000.00 (termasuk kos pembaikpulih hartanah tersebut) kepada Plaintif Pertama pada 02.08.2022.
- 7.Pemberhentian tindakan Plaintif-Plaintif ke atas Defendan- Defendan adalah wajar kerana tuntutan utama Plaintif-Plaintif dalam tindakan ini telah dijelaskan oleh Defendan Pertama.
- 8.Permohonan ini adalah bona fide dan akan menjimatkan masa Mahkamah Yang Mulia ini dan semua pihak dalam tindakan ini.
- 9.Alasan-alasan lain adalah seperti yang terkandung dalam Afidavit Sokongan yang diikrarkan oleh Jackan Joy @ Victor A/L Rajagopal pada 12.09.2022 yang difailkan bersama.