Ismail bin Saad lwn Koperasi Permodalan Melayu Wilayah Kuala Muda/SIK Kedah Berhad (KEMUDIK) dan lain-lain [2022] MLJU 2523

MAHKAMAH TINGGI (SUNGAI PETANI)
NARKUNAVATHY SUNDARESON PK
GUAMAN SIVIL NO KB-23NCVC-4-07 TAHUN 2021
16 April 2022

ALASAN PENGHAKIMAN

(Lampiran 36)Pengenalan

[1]  Lampiran 36 adalah permohonan Defendan Pertama untuk mengenepikan penghakiman ingkar kehadiran bertarikh 28.10.2021.Penghakiman ingkar kehadiran

[2]  Berikut adalah kronologi yang membawa kepada Plaintif merekodkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap Defendan Pertama.

[3]  Writ Saman bertarikh 5.8.2021 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 26.7.2021 telah diserahkan kepada Defendan Pertama secara pos berdaftar AR pada 9.8.2021. Defendan Pertama telah mengakui penerimaan kertas kausa tersebut pada 23.8.2021.

[4]  Defendan Pertama menegaskan bahawa terdapat kekeliruan berkenaan kertas kausa tersebut kerana mereka telah bertanggapan ianya adalah berhubung kes-kes terdahulu di antara Plaintif dan mereka yang telahpun selesai dibicarakan. Mereka hanya sedar kertas kausa tersebut berhubung suatu kes baru yang dimulakan oleh Plaintif terhadap mereka apabila mereka diserahkan dengan notis permohonan untuk memasukkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap mereka (Lampiran 19). Mereka kemudiannya melantik peguam dan memfailkan memorandum kehadiran bagi pihak mereka sendiri pada 27.10.2021.

[5]  Lampiran 19 telah ditetapkan untuk pendengaran di hadapan YA Hakim pada 28.10.2021. Piaintif telah merujuk Mahkamah kepada afidavit penyampaian mereka bertarikh 27.9.2021 (Lampiran 17) sebagai bukti penyerahan kertas kausa telah dilaksanakan terhadap Defendan Pertama dengan teratur. Plaintif juga telah merujuk kepada sijil ketidakhadiran bertarikh 30.9.2021 (Lampiran 18) yang telah difailkan apabila Defendan Pertama gagal memasukkan kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan. Plaintif memohon agar penghakiman ingkar kehadiran direkodkan terhadap Defendan Pertama.

[6]  Memandangkan Lampiran 19 teratur, Mahkamah telah membenarkan permohonan tersebut dan merakamkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap Defendan Pertama.

[7]  Wajar diambil maklum bahawa setakat hah ini, Plaintif gagal dan enggan untuk memfailkan dan menyerahkan penghakiman ingkar kehadiran berseal yang diperolehi terhadap Defendan Pertama.